Jumaat, 2 Julai 2010

Fasha Sandha bakal nikah bekas suami Nora Danish?

Beri kami ruang dan privasi - Rizal


GAMBAR terbaru Fasha ketika menjalani penggambaran drama bersiri Duyong Aridinata di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Bekas suami aktres Nora Danish, Rizal Ashram Ramli kembali menarik perhatian media berikutan pengakuan terbuka Fasha Sandha bahawa mereka adalah pasangan kekasih.

Berikut jawapan Rizal, 34, atau lebih dikenali sebagai Jejai ketika dihubungi Kosmo! terhadap kenyataan terbuka Fasha, 26, semasa sidang akhbar drama bersiri Duyong Aridinata kelmarin.

Kosmo!: Apa pandangan Rizal tentang kenyataan Fasha yang disiarkan media semalam?

RIZAL: Saya tidak mahu banyak komen dan memanjangkan lagi isu ini.

Kosmo!: Sesetengah pihak melihat Fasha sebagai angkuh menerusi kenyataannya yang tidak kisah tentang penerimaan keluarga Rizal terhadapnya sebab belum ada rancangan untuk berkahwin? Apa komen anda?

RIZAL: Saya tidak fikir isu penerimaan (keluarga) itu angkuh kerana itu bukan apa yang Fasha maksudkan.

Maksudnya adalah hubungan kami masih baru dan tidak perlu fikir tentang isu penerimaan itu lagi.

Kosmo!: Ada sebarang perancangan untuk berkahwin?

RIZAL: Tidak terlintas pun di fikiran tentang hal (perkahwinan) itu. Semua perkara lain akan dibincangkan apabila tiba masanya. Buat masa ini saya dan Fasha mohon diberi sedikit ruang dan privasi.


Rabu, 30 Jun 2010

Pelajar perempuan lari rumah ikut teman lelaki


Remaja ugut bunuh diri


ZURAINI menunjukkan gambar Rosmida sambil memegang Rosdan dan menunjukkan SMS ugutan untuk membunuh diri yang dikirim remaja itu di Kuantan semalam.


KUANTAN - Gara-gara cinta, seorang pelajar tingkatan tiga dipercayai tergamak lari dari rumah dan meninggalkan keluarga demi mengikut kekasihnya yang dikenali sebagai 'Man'.

Selain tindakan itu, keluarga remaja perempuan terbabit turut bimbang apabila dia mengugut untuk membunuh diri jika laporan polis dibuat mengenai kehilangannya.

Bapa remaja itu, Rosli Raslan, 46, memberitahu, dia menyedari kehilangan anaknya, Rosmida, 15, apabila remaja itu tidak pulang ke rumahnya di Taman Tas di sini selepas habis sesi persekolahan pada 21 Jun lalu.

"Saya cuba menghubungi Rosmida, tapi panggilan saya tidak dijawab, kemudian saya pergi berjumpa rakan-rakannya dan saya diberitahu anak saya berkawan dengan seorang lelaki bernama Man berusia 28 tahun," katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.



Isnin, 28 Jun 2010

Bahana larikan anak dara orang


JOHOR BAHRU: Akibat melarikan anak dara jiran yang masih di bawah umur untuk dijadikan isteri, seorang kelindan lori kini bertarung nyawa selepas dibelasah sekumpulan lelaki dipercayai saudara gadis berkenaan sehingga buah pinggang rosak dan kemaluannya hampir hancur.

Kejadian berlaku beberapa hari selepas mangsa bersama gadis berusia 14 tahun yang juga kekasihnya melarikan diri dari rumah mereka di Tebong, Melaka ke kediaman seorang kenalan di Jementah, Segamat, untuk melangsungkan perkahwinan secara rahsia.


Ibarat mencurah minyak ke dalam api, keluarga gadis berkenaan yang terkilan dengan perbuatan pasangan kekasih itu bertambah berang apabila mendapati mereka sudah berkahwin.


Difahamkan, mangsa, R Vijendren, 20, dan gadis berkenaan dibawa pulang ke kampung halamannya di Melaka sebelum dibelasah kira-kira 30 lelaki pada minggu lalu.


Mangsa dimasukkan ke Hospital Segamat sebelum dipindahkan ke Hospital Muar. Abang mangsa, R Suresh, 26, berkata keadaan adik bongsu daripada lima beradik itu kini masih kritikal.


Menurutnya, ketika kejadian, dia turut berada di tempat kejadian, tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana kumpulan terbabit seolah-olah hilang kawalan ketika membelasah Vijendren.


“Kami tidak menyangka keluarga gadis berkenaan menyerang adik secara tiba-tiba. Saya cuba menghalang, tapi turut mengalami kecederaan sehingga terpaksa menerima enam jahitan di kepala.


“Gadis berkenaan dibawa pergi oleh keluarganya manakala adik saya ditinggalkan dalam keadaan menyayat hati,” katanya.


Suresh berkata, lebih membimbangkan, Vijendren kini terpaksa bergantung pada rawatan dialisis buah pinggang seumur hidup berikutan kecederaan parah pada organ berkenaan.


Katanya, buat masa ini, adiknya masih mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan dan keluarganya sudah membuat dua laporan polis, masing-masing di Balai Polis Segamat, pada 17 Jun lalu dan kelmarin pula di Balai Polis Muar.


“Selain buah pinggang, kemaluan adik saya juga hampir hancur. Kami akui kesilapan adik melarikan gadis berkenaan namun tindakan pihak terbabit melampaui batas menyebabkan masa depannya hancur,” katanya.


Sumber: harian metro

luka bersalin punca murung

Luka bersalin punca murung


KESIHATAN ibu hamil perlu dipantau sepanjang masa ketika mengandungkan bayi hinggalah selepas bersalin. - Gambar hiasan.


KATA orang tua-tua, wanita perlu berpantang kerana proses mengandung dan bersalin menuntut tenaga dan perubahan yang bukan sedikit kepada organ tubuh.

Menurut Pakar Runding Obstetrik Ginekologi, Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr. Fauziah Mohd Hassan, perubahan itu melibatkan organ-organ seperti organ reproduktif (vulva, faraj, servik, ovari dan rahim), tulang dan sendi-sendi terutama pada tulang belakang serta pelvis.

"Perubahan yang agak ketara juga berlaku pada kulit, muka dan perut ibu. Payu dara juga akan membengkak. Kulit di bahagian puting (areola) berwarna gelap.

"Berlaku juga perubahan pada sistem kardiovaskular (jantung), darah dan komponennya, pernafasan, perkumuhan buah pinggang, usus, penghadaman dan metabolisme," katanya kepada Kosmo!.

"Lazimnya, perubahan berlaku dengan cepat sejurus kelahiran. Sebagai contoh, saiz rahim yang begitu besar ketika hamil sembilan bulan akan terus mengecut ke paras bawah pusat dengan anggaran berat kira-kira 900 gram (saiz lima bulan hamil). Proses pengecutan ini menyebabkan kesakitan," katanya.

Luka episiotomi

Jelas Fauziah, servik akan tercedera semasa proses kelahiran bayi. Oleh itu, lubang servik bagi ibu-ibu yang telah melahirkan anak secara normal berbentuk melintang, manakala yang belum pernah melahirkan anak secara normal berbentuk titik. Lubang servik ini akan mengecut dalam masa seminggu selepas bersalin jika tiada jangkitan.

Selain itu, wanita yang bakal melahirkan anak juga akan berdepan dengan luka episiotomi.

Luka episiotomi terhasil melalui potongan yang dilakukan di kawasan perineum sewaktu proses bersalin bagi tujuan menyediakan bukaan yang lebih luas untuk bayi.

"Luka episiotomi ini lazimnya sembuh dalam masa 10 hingga 14 hari, bergantung pada cara penjagaan dan kebersihan diri," jelasnya yang menggalakkan penggunaan antiseptik dan tidak bersetuju dengan penggunaan ubat herba yang tidak disteril.

Fauziah memberitahu, tidak dinafikan bahawa seramai 50 peratus wanita boleh mengalami kemurungan dalam minggu pertama selepas bersalin. Jika itu berlanjutan melebihi lima hari, doktor perlu dirujuk segera.

"Antara penyebab kemurungan adalah rasa tidak selesa seperti sakit pengecutan rahim dan jahitan luka pada faraj, keletihan serta kelesuan akibat kekurangan tidur.

"Ia juga terjadi kerana kegusaran tentang kebolehan menyusu dan menjaga bayi ataupun risau tentang bentuk badan yang kurang menarik," katanya.

Oleh itu, katanya, ibu yang baru sahaja melahirkan bayi memerlukan sokongan dalam beberapa aspek seperti sokongan fizikal, emosi dan melalui teknik mengurut. Suami, keluarga dan juga bayi yang dilahirkan itu boleh menjadi motivasi yang diperlukannya.

Menurut Fauziah, selepas bersalin lazimnya wanita Melayu di Malaysia akan berurut selama beberapa hari. Ada ibu berurut selama tiga hingga tujuh hari. Kebiasaannya, urutan dilakukan oleh bidan, tukang urut tradisional ataupun ahli fisioterapi.

"Semua ibu yang telah bersalin sama ada secara normal ataupun secara pembedahan boleh berurut seluruh badannya kecuali di bahagian perut.

"Boleh dikatakan kebanyakan tukang urut akan mengurut seluruh badan ibu termasuk bahagian perut.

"Namun begitu, urutan di bahagian perut tidak digalakkan kerana rahim sesedang melalui proses pengecutan. Oleh itu, mengurut untuk mengangkat rahim tidak digalakkan kerana ia tidak mempunyai sebab saintifik.

"Rahim yang 'jatuh' berlaku atas sebab-sebab lain seperti banyak kelahiran, kelahiran anak yang besar, menopaus dan mempunyai masalah sembelit ataupun batuk yang kronik," terang Fauziah.

Di samping penjagaan kebersihan, proses penyembuhan memerlukan makanan dan minuman dengan khasiat seperti vitamin, protein dan zat galian. Kajian menunjukkan vitamin C sangat diperlukan dalam proses penyembuhan selain protein.


FAUZIAH


Rekahan kulit perut

Lazimnya, kulit perut ibu bersalin akan menjadi lembut dan menggeleber kerana otot pada perut terpisah untuk beberapa minggu selepas bersalin.

"Rekahan pada kulit perut akibat bersalin pula akan bertukar warna menjadi pucat. Proses ini akan mengambil masa selama enam hingga sembilan bulan untuk kembali normal.

"Keadaan terlebih regangan ini berlaku pada kulit perut disebabkan kehamilan kembar dua atau tiga. Untuk mengembalikan kekuatan otot perut, perlulah melakukan senaman otot perut.

"Kekuatan ini tidak berlaku dengan hanya memakai bengkung dan membalut perut," katanya.

Secara purata, seseorang ibu akan bertambah berat badan sebanyak 12.5 kilogram sepanjang kehamilan.

Kajian menunjukkan kira-kira 6.5 kilogram akan hilang dalam bentuk berat bayi, berat uri dan air ketuban. Adakalanya berat ibu akan meningkat beberapa hari selepas bersalin kerana lebihan air.

"Berat badan ibu boleh stabil dalam masa 10 minggu selepas bersalin. Bagi ibu-ibu yang menyusukan bayi, berat badan mereka akan menurun lebih cepat berbanding ibu yang memberi susu formula kepada bayinya," katanya.

Fauziah memberitahu, wanita selepas bersalin juga akan menghadapi beberapa risiko penyakit kerana banyak mengalami luka dalaman.

Tambahan pula, berlaku kekurangan ketahanan badan semasa hamil dan selepas bersalin. Ketulan darah dan pendarahan menjadi makanan kuman seterusnya meninggikan risiko jangkitan.

"Jangkitan akan melambatkan proses penyembuhan dan luka-luka itu boleh bernanah. Jika parut pada rahim semasa pembedahan (caesarian) dijangkiti kuman, parut yang sudah sembuh tidak dapat sembuh dengan baik.

"Itu mendatangkan risiko kepada kehamilan akan datang. Jangkitan kuman juga boleh menyebabkan saluran tiub fallopio tersumbat lalu menjejaskan peluang untuk hamil lagi.

"Adakalanya jangkitan pada rahim merebak ke dalam saluran darah. Ia boleh menjadi serius dan membawa maut jika tidak dirawat dengan cepat dan tepat.

"Oleh itu, jika seseorang ibu demam semasa dalam pantang, jangan ambil mudah. Segeralah berjumpa doktor," kata Fauziah serius. - FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


Rejim berpantang- kisah 44hari selepas bersalin

Kisah 44 hari selepas bersalin




NORSHAZUANIE Shamsuidin, 27, sudah mula bosan kerana terpaksa berpantang makan setiap hari. Hanya menu ikan bilis atau ikan tenggiri goreng yang dimasak dengan lada hitam atau halia menjadi pengalas perut.

Jika ada yang lain pun, ibunya cuma akan menukarkan menu goreng tadi menjadi sup. Menu tersebut akan diulangi selama 44 sepanjang dia berpantang selepas bersalin.

Buat kali pertama, Norshazuanie menjadi ibu dan perlu menjalani proses pemulihan selepas bersalin. Amalan-amalan tegar seperti itu bukan satu kebiasaan kepadanya.

Melihat adik-adiknya menikmati hidangan pelbagai jenis lauk yang menyelerakan dan minuman berais, hatinya mula memberontak. Bukan itu sahaja, Norshazuanie juga perlu berbengkung, bertungku dan berurut setiap hari.

Paling teruk, dia terpaksa membuang air kecil dan besar sambil bersimpuh, takut luka jahitan selepas bersalin terkoyak.

Anak pertama daripada empat beradik itu juga berhadapan dengan lelehan darah nifas yang banyak. Akibatnya, darah-darah tersebut melekat dan menjadi kering apabila terkena jahitan bersalin.

Situasi itu menyebabkan dia sering gagal mengawal emosi lalu menjadi pemarah. Mujur suaminya, Mohd Idzham Saihari, 27, sentiasa memberi perangsang kepadanya.

Malah, suaminya itu sanggup mencuci luka jahitan isterinya dengan menggunakan pencuci antiseptik kerana ia sukar dilakukan sendiri oleh Norshazuanie.

"Mak juga banyak beri nasihat. Katanya, jika tidak amalkan makanan-makanan berkhasiat, takut memberi kesan kepada bayi yang masih menyusu.


HALIMAH menunjukkan cara yang betul memakai bengkung ketika berpantang bagi ibu yang baru melahirkan anak.


"Amalan bertungku dan berbengkung juga penting untuk mengembalikan bentuk badan kepada asal'," kongsi pegawai bank itu.

Jelasnya, beratnya selepas bersalin ialah 65 kilogram tetapi selepas melalui rejim berpantang selama sebulan lebih, beratnya menjadi 54 kilogram. Sebelum mengandung, berat badannya ialah 55 kilogram.

"Selain mengamalkan pemakanan berkhasiat, berbengkung dan bertungku, saya juga mengamalkan makan jamu.

"Pada mulanya saya makan jamu sebanyak lima biji, dua kali sehari. Namun, disebabkan amalan jamu itu, anak saya, Amirul Afiq mula mengalami alahan yang teruk.

"Timbul ruam-ruam pada badannya dan dia juga bertahi mata. Saya mula mengurangkan jumlah jamu yang diambil," katanya kini lega kerana anaknya tidak lagi mengalami sebarang alahan.

Tambahnya, disebabkan sudah terbiasa dengan amalan semasa berpantang, sehingga kini dia masih mengambil makanan yang berkhasiat dan banyak minum air masak.

Cantik luar dan dalam

Mendengar pengalaman berpantang daripada Norshazuanie tidaklah sehebat pengalaman berpantang yang telah diharungi oleh pengasas Jamu Mak Dara, Halimah Shuib. Ibu Halimah, Dara Latiff, terlalu banyak petua dan pantang larangnya.

Disebabkan amalan dan petua ibunya itu, Halimah mengambil keputusan untuk berkongsi bersama wanita-wanita lain dengan menubuhkan syarikat Jamu Mak Dara Sdn. Bhd..

Cerita Halimah, sejak mengandung sehingga melahirkan anak, pelbagai amalan berpantang perlu dipatuhi olehnya.

"Memang sampai ke satu tahap saya tidak tahan. Tapi kerana inginkan tubuh kembali cantik luar dan dalam selepas bersalin, amalan tersebut terpaksa dilakukan.

"Jika tidak berpantang, kita mudah mendapat penyakit," katanya yang mempunyai enam orang anak tetapi masih memiliki badan yang langsing biarpun sudah berusia 66 tahun.

Walaupun pelbagai amalan telah diamalkan Halimah semasa mengandung untuk memudahkannya bersalin, perasaan takut menantikan detik kelahiran tetap membelenggu diri.

Lebih-lebih lagi usia Halimah baru mencecah 13 tahun ketika melahirkan anak pertama.

"Memang sakit sangat ketika bersalin. Sakit yang tidak boleh digambarkan tetapi Alhamdulilah sakitnya tidak lama. Cukup tiga hari selepas bersalin, Halimah mula berpantang.


KEPAYAHAN peraturan berpantang akan memberi kebaikan buat si ibu yang baru bersalin.


Mandi serai wangi

"Membuang air kecil dan besar pun terpaksa sambil bersimpuh selama 44 hari. Lebih menyukarkan, saya tidak boleh meneran.

"Walaupun luka sudah baik, ibu saya tetap suruh bersimpuh. Katanya, peranakan akan jatuh jika meneran dan tidak bersimpuh.

"Saya juga disuruh mandi dengan pelbagai jenis daun. Antaranya daun kunyit, serai wangi, pisang emas dan pisang batu untuk mencergaskan serta mewangikan badan," katanya yang berasal dari Batu Pahat, Johor.

Selepas mandi, Halimah akan menyapu seluruh badannya dengan param yang dibuat oleh ibunya. Param adalah ramuan yang seakan-akan bedak dengan campuran halia bara, kunyit dan lada hitam.

Perutnya juga disapu air limau dengan kapur dan kemudiannya dibarut dengan bengkung.

"Tujuan kita berbengkung selepas bersalin adalah untuk merapatkan kelengkang, punggung dan rahim. Bengkung juga boleh mencantikkan perut dan pinggul yang jatuh selepas bersalin seperti sediakala.

"Selepas berbengkung, ibu saya akan meletakkan pilis pada dahi saya. Pilis ini dibuat daripada campuran kulit kayu manis yang dicampurkan dengan sedikit bawang putih.

"Tujuannya untuk mengelakkan 'darah meroyan' naik ke kepala atau mata menjadi kabur ketika tua nanti. Selepas itu, saya akan menyapu bedak sejuk di seluruh muka.

"Bukan itu sahaja, selepas siap berbengkung dan berpilis, saya perlu minum air daun jati Cina. Ibu saya kata, tujuannya adalah untuk mengempiskan perut, mengurangkan kolesterol dan melawas air kecil dan besar," katanya.

Jelasnya, dia juga kena berpantang dari segi pengambilan makanan. Setiap hari, dia akan makan ayam rebus halia padi atau halia Cina. Air rebusan tidak perlu terlalu banyak.

Tambah ibunya, wanita berpantang tidak elok minum terlalu banyak air. Halimah juga akan makan pegaga mentah yang telah dipotong tanpa dimasak atau direbus.


NORSHAZUANIE (kanan) dan suaminya, Mohd. Idzham bersama anak mereka, Amirul Afiq.


Ibunya menambahkan hidangan ayam rebus dan pegaga tadi dengan membuat satu lagi hidangan iaitu ikan bilis singgang dengan bawang dan kemudiannya diperah dengan air asam jawa.

"Memang saya rasa mahu menangis ketika berpantang. Saya juga dilarang bercakap dan gelak terlalu kuat kerana takut rahim akan mengembang. Selain itu, saya juga ada makan jamu yang dibuat sendiri oleh ibu.

"Ada cara untuk makan jamu. Ketika telan jamu, angkat kedua-dua belah payu dara dengan menggunakan lengan kiri. Tujuannya untuk mengelakkan jamu mengalir pada payu dara.

"Jika tidak, anak yang menyusu akan termakan jamu dan akan mendapat alahan," katanya.

Ahad, 27 Jun 2010


Dunia baru Anne Ngasri


Tinggal kenangan..

Satu pergi tiga di sisi




LUKISAN senyuman yang mengaburi garis kecewa di wajah manisnya sangat indah. Di bibirnya pula, ada rekahan delima merah yang menguntum penuh reda. Dia tahu, hidup ini tidak seindah khayalan, dan kalau pun bermimpi, impian bahagia yang hadir terakam, bukan sesuatu yang kekal sifatnya.

Mengakui separuh daripada catatan hidupnya berlaku atas ketentuan takdir dan separuh lagi daripada kesilapan sendiri, Anne Ngasri sedia meneruskan hari mendatang tanpa perlu mengunci diri.

Dia tidak mahu bersembunyi, menjauhkan diri daripada khalayak media jauh sekali. Anne, wanita muda yang sedang beralih fasa, daripada seorang isteri kepada status ibu tunggal.

Satu status yang paling ingin dijauhi wanita muda sepertinya, apatah lagi ada benih bernyawa yang sedang membesar di dasar rahimnya. Kiri dan kanan tangannya pula terpimpin dua anak kecil yang belum kenal dilema perasaan.

Anne persis pengemudi di atas kapal yang ditinggalkan nakhoda. Berbekal kejora diri sebagai penunjuk arah, Anne yakin gelora kehidupan yang harus ditongkah bukan mustahil untuknya bertemu sebuah destinasi.

"Sumpah, perceraian ini berlaku bukan atas rancangan saya," terletus satu pengakuan yang seakan mempertahankan sesuatu.


KELETAH anak-anaklah yang menjadi kekuatan Anne untuk meneruskan perjuangannya sebagai ibu tunggal. Biarpun tidak mudah, itu hakikat yang harus diterima penuh reda. Mungkin ada hikmah di sebalik setiap kejadian.


Selaku orang luar yang mendekati Anne semata-mata untuk menagih sebuah bingkisan, hati terpaut rasa kagum. Jika ketentuan itulah yang tersurat atas diri sendiri, tiada jawapan yang hendak dikhabarkan. 'Minta selisih malaikat 44', detik hati tanpa tanpa diundang.

'Awak sangat kuat', bisik saya ke wajahnya. Dia tersengih mempamerkan gigi putihnya yang rapi tersusun. Di sebalik dua kelopak bundar yang dikatakan sering 'tersenyum' itu, anak matanya bersinar bagai tiada setitis duka.

Melepas sebuah renungan untuk zuriat kecil yang riang bergurau sesama sendiri, anak kelima dalam keluarga bekas juruhebah terkenal Ngasri Sain itu meletuskan kata-kata.

"Saya reda atas apa yang berlaku. Kadang-kadang terdetik di dalam hati, tidak guna sesebuah hubungan suami isteri itu dipaksa bertahan semata-mata untuk anak-anak sedangkan kasih sayang suami isteri itulah yang paling besar dan harus diperkukuhkan dahulu.

"Di situlah letaknya 'kebesaran' sesebuah perkahwinan, untuk suami isteri dan anak-anak sebagai anggota.

"Tidak ada pasangan yang mahukan perceraian, tanyalah sesiapa pun. Tetapi itulah yang berlaku terhadap saya. Masalah yang saya hadapi sudah berpanjangan dan sangat rumit untuk dirungkaikan.

Talak tiga, pindah rumah

"Mungkin disebabkan kami sama-sama muda, sama-sama naif," kata pemilik nama Naszriah Ngasri, 26, ini berlingkar optimis.

Bohonglah jika dia tidak bersedih namun perasaan itu harus dibuang jauh-jauh. Ibarat patah sayap bertongkatkan paruh, Anne harus menjadi wanita matang yang sedia berjuang demi anak-anak.

"Sedih memanglah sedih tapi tidaklah sampai memudaratkan diri. Semua perasaan itu disimpan dalam hati sebab hidup saya tidak pernah kesunyian dengan adanya, Warits dan Wafri. Mereka kekuatan saya. Lagipun dalam keadaan yang sedang hamil ini, saya kena sayangkan diri saya.

"Lagi satu, saya tidak akan pernah bersendirian sebab anak dalam kandungan saya ini sentiasa mendampingi saya. Lebih dekat jadinya saya dengan anak-anak dan Tuhan," getusnya mampu merawankan rasa.

Membungkus kemas punca permasalahan daripada pengetahuan umum, Anne enggan berdepan risiko. Barangkali bimbang ratapan jiwanya kelak memulangkan paku buah keras.

Dia tidak mahu memutuskan silaturrahim yang telah terlangsung antara dua keluarga. Berkahwin dengan cara paling baik dan bercerai pun juga haruslah dilakukan atas jalan terbaik.

"Biarlah yang berpisah kasih hanya saya dan Wafi, bukan Wafi dengan anak-anaknya, bukan saya dengan bekas ibu mentua saya.


DUA kali bercerai dan dua kali rujuk tanpa pengesahan mahkamah, talak ketiga yang diucapkan Wafi pada 25 Mac lalu menamatkan ikatan perkahwinan Anne bersama bapa kepada anak-anaknya. Talak tiga sudah disahkan, tamatlah sudah siri cerai dan rujuk buat Anne dan Wafi.


"Banyak perasaan yang harus dijaga, lagipun agama kita sendiri mengutuk sikap membuka keaiban sesama sendiri," penuh hati-hati Anne bertegas.

Turun naik mahkamah untuk mendapatkan pengesahan lafaz cerai yang pernah diucapkan Wafi, dua kali dalam tahun 2009 dan kali ketiga pada 25 Mac lalu, Anne kini sah bercerai talak tiga bersama bekas suaminya Abdul Wafi Hassan, 29.

Ibarat dakwat pun masih belum kering, perkara itu baru sahaja diputuskan di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Anne sendiri sudah mendapat petunjuk awal. Sebagai isteri, dia tahu, talak terakhir yang diucapkan Wafi sebelum ini bakal meninggalkan impak yang besar.

Dia nekad meninggalkan kediaman yang diduduki selama dua tahun di Shah Alam, dan kembali ke pangkuan keluarganya, di Taman Billion berhampiran Batu Cave, Selangor.

Tidaklah sampai tinggal sebumbung di rumah kedua ibu dan ayah tetapi berada di kejiranan yang sama memberi jaminan keselamatan buat Anne tiga beranak.

"Saya sudah pindah ke sini sejak dua bulan lepas. Senang sikit bila keluarga ada berdekatan. Warits pula sudah ke tadika, saya hantarnya ke sekolah setiap pagi manakala balik dijemput oleh neneknya (ibu Anne)," cerita Anne.

Karier seni

Soal kasih bapa terhadap anak-anak, ujar Anne, Wafi masih menjalankan tanggungjawab seorang bapa. Tambahan pula, Abdul Warits, 4, dan Abdul Wafri, 2, masih terlalu kecil untuk menghidu masalah mereka.




"Bila berjumpa, mereka ketawa dan riang ceria. Seminggu sekali, biasanya hujung minggu Wafi akan datang menjenguk dan mengambil anak-anak.

"Saya dan Wafi sendiri tidak bermasam muka, kami masih boleh berkawan dan berkomunikasi tanpa masalah," katanya yang mengakui rapat dengan ibu Wafi dalam merujuk masalah yang dihadapi.

Ucapnya penuh sifat matang: "Selama ini, saya tidak mahu menyusahkan keluarga. Saya hanya merujuk kepada orang-orang yang arif dalam soal agama. Lagipun orang kata, hanya seorang ibu yang dapat memahani sikap anak lelaki sendiri."

Bakal muncul menerusi drama bersiri Legenda Budak Setan tidak lama lagi, duta produk penjagaan kulit Aleema ini tidak pernah terfikir untuk beralih profesion. Waima dalam usia kandungan yang mencecah lima bulan, Anne sedia turun ke lokasi jika dihulurkan tawaran.

"Kemahiran saya hanya berlakon, itulah satu-satunya mata pencarian saya untuk membesarkan anak-anak," katanya.


Rita Rudaini&Adil Zafuan ada masalah

Rita Rudaini – Adil Zafuan bergelora?


SEBELUM ini, rumah tangga Rita dan Aidil pernah dikhabarkan bergoyang tetapi tidak sehebat kali ini.


MENARIK nafas panjang Diva dibuatnya apabila satu demi satu cerita tidak seronok masuk ke gegendang telinga ini. Hendak menggeleng kepala rasanya tidak wajar sebab Diva sendiri bukanlah malaikat.

Diva bukan jenis percayakan gosip tanpa usul periksa tetapi setelah mengambil kira bilangan mulut yang rancak bercerita tentang gelora yang sedang dihadapi dramatis popular Rita Rudaini dengan suaminya, Aidil Zafuan itu sudah lebih daripada dua, Diva fikir, pasti ada sedikit kebenaran daripada bisikan angin panas itu.

Diva cuma terkenangkan wajah comel Aidit Raiyan Rizqin yang baru hendak mengenal dunia. Minta dijauhkanlah segala onar tidak diingini ya.

Diva: Sentiasa doakan kesejahteraan rumah tangga rakan-rakan.


Copyright Vitamin Sihat 4 Cantik . Design by ZBS Networks