Selasa, 8 Jun 2010

Graduan UiTM buang bayi

Graduan UiTM buang bayi dipenjara 12 bulan, denda


2010/06/08

KUALA TERENGGANU: Seorang graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dihukum penjara 12 bulan dan denda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, selepas mengaku bersalah membuang mayat seorang bayi lelaki yang dilahirkannya pada 29 Januari 2008.

Tertuduh, Zarina Sulaiman, 22, (atas) dari Cherul, Kemaman, tidak berhenti mengalirkan air mata sebaik berdiri di kandang tertuduh ketika hukuman dijatuhkan oleh Majistret Wan Nor Aklima Wan Salleh.
Zarina yang memakai baju kurung bercorak berwarna coklat gelap dan tudung sedondon dituduh membuang bayi itu sebelum atau selepas mati atau ketika dilahirkan, antara jam 11 hingga 12 malam di Asrama Sutera, UiTM cawangan Chendering, Kampung Kubang Ikan, di sini.
Tertuduh yang memiliki Diploma Sains Fizik juga didakwa dengan sengaja menyembunyikan kelahiran bayi itu mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Zarina diwakili peguam Mohd Hayyatuddin Muhamad dan pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Masriwani Mahmud@Mamat.

Terdahulu, Mohd Hayyatuddin mengemukakan rayuan kepada mahkamah supaya Zarina tidak dikenakan hukuman penjara dengan alasan tertuduh menjadi mangsa selepas terpedaya dengan janji manis lelaki tidak bertanggungjawab yang menyebabkan kelahiran bayi itu.

Beliau memohon mahkamah meringankan hukuman dan memberi peluang Zarina yang kini berkelakuan baik melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda.
"Kami memohon mahkamah mempertimbangkan rayuan kerana tertuduh masih muda dan patut diberi peluang kedua," katanya.


Copyright Vitamin Sihat 4 Cantik . Design by ZBS Networks
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...